Apakah iktibar yang diperoleh daripada pendudukan British di singapura
Answers
Answer:
British Mengambil Pulau Pinang, Singapura Dan Melaka
Pada akhir pengajaran dan pembelajaran bab ini,
anda seharusnya dapat:
Menghuraikan bagaimana kekayaan dan kemakmuran tanah air telah membawa pengambilan Pulau Pinang, Singapura dan Melaka oleh British.
Membandingkan proses pengambilan Pulau Pinang, Singapura dan Melaka oleh British.
Mentafsirkan kesan Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 terhadap kepulauan Melayu.
Mengambil iktibar daripada peristiwa di Pulau Pinang, Singapura dan Melaka akibat pengambilan oleh British.
Ringkasan
Bab ini menerangkan sebab-sebab British mengambil Pulau Pinang, Singapura dan Melaka serta proses pengambilannya. Juga dijelaskan tentang usaha Syarikat Hindia Timur Inggeris mencari pangkalan yang sesuai di Teluk Benggala. Pangkalan tersebut memudahkan kapal-kapal yang berulang-alik dari India ke China untuk singgah berlabuh, memuatkan bekalan dan membaiki kerosakan. Ia juga boleh dijadikan tempat berteduh jika angin monsun berubah. Pantai Koromandel juga terdedah kepada serangan musuh, terutamanya Perancis. Oleh itu dengan adanya pangkalan, ia memudahkan bantuan segera dihantar sekiranya ada serangan dari timur India.
Atas sebab-sebab ini, Syarikat Hindia Timur Inggeris pun berusaha mencari sebuah pangkalan yang sesuai. Pada mulanya pihak British cuba menghubungi Sultan Sulu untuk memohon izin membuka penempatannya di Balambangan, di utara Sabah. Oleh sebab petempatan ini tidak sesuai, sebuah pangkalan yang lebih sesuai perlu dicari. Secara kebetulan pula Kedah sedang meminta bantuan British untuk menghalau Bugis daripada menguasainya negerinya, dan Siam pula sentiasa mengancam keselamatan Kedah. Jika Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) membantu Kedah, Sultan Kedah rela menyerahkan Pulau Pinang kepada SHTI. Sungguhpun SHTI keberatan menolong Kedah kerana dasar tidak campur tangan mereka, tetapi disebabkan mahukan Pulau Pinang, British membuat helah menduduki Pulau Pinang. Kemudian, Pulau Pinang didapati berada terlalu jauh ke utara iaitu di hujung Selat Melaka menyebabkan British perlu mendapatkan pangkalan lain yang lebih sesuai, kerana mahu bersaing dengan Perancis. Akhirnya mereka berjaya mencari pangkalan lain iaitu Singapura pada tahun 1819. SHTI berjaya mendapatkan Singapura daripada Sultan Hussein yang kebetulannya dilantik menjadi sultan dengan sokongan British. Kedudukan SHTI di Singapura menyebabkan kerajaan Johor berpecah kepada dua dengan satu bahagian di bawah pengaruh Belanda dan satu bahagian lagi di bawah pengaruh British. Seterusnya Melaka diambil oleh British dengan termeterainya Perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1824.
Pada tahun 1600, Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) ditubuhkan oleh para saudagar Inggeris untuk berdagang dengan pedagang dari Kepulauan Melayu dan India. Selain itu, terdapat juga beberapa firma Inggeris yang turut berdagang secara persendirian di Kepulauan Melayu. Awal tahun 1770-an, mereka memulakan usaha mencari sebuah pangkalan di Kepulauan Melayu untuk memperluaskan perdagangan dengan China, serta mendapatkan bijih timah dan lada hitam dari Kepulauan Melayu di samping untuk mempertahankan empayar British di India. Barangan dagangan SHTI dengan China seperti teh, sutera dan tembikar memberi keuntungan yang besar kepada Inggeris. Pada kurun ke-18, SHTI mempunyai kuasa monopoli perdagangan dengan China. Oleh itu, British ingin melindungi serta memperluaskan perdagangannya dengan China.
Barang dagangan China yang paling mendapat sambutan di Eropah ialah teh. Para saudagar China lebih menggemari hasil-hasil Selat, seperti bijih timah dan lada hitam berbanding dengan barangan Inggeris. Kesannya SHTI terpaksa menggunakan wang emas dan perak yang begitu banyak dalam pertukaran dengan barangan China. Oleh itu, SHTI perlu mencari sebuah pangkalan untuk memperolehi hasil-hasil Selat bagi menukarkannya dengan barangan China. Persaingan perdagangan di India antara Inggeris dan Perancis pada akhir kurun ke-17 dan ancaman tentera laut Perancis mendesak Inggeris memerlukan sebuah pangkalan tentera laut untuk mempertahankan empayarnya di India. Di samping itu,pangkalan tersebut dapat dijadikan sebagai tempat perlindungan dan tempat pembaikian kapal-kapal Inggeris yang belayar di Kepulauan Melayu.
Pemilihan Balambangan yang dijadikan sebagai pangkalan perdagangan oleh SHTI tidak sesuai kerana Balambangan terletak jauh dari jalan perdagangan utama. Kawasan itu juga sering terdedah kepada serangan lanun. Begitu juga dengan Riau dan Pulau Labuan. Ancaman dari Siam dan Bugis terhadap negeri Kedah memberi laluan kepada Inggeris apabila Sultan Kedah menawarkan Pulau Pinang untuk dijadikan pangkalan perdagangan.