Write a letter to the Editor of a national daily expressing your views on the changing role of media in the light of emerging national/social problems and increasing interest in newspapers/news channels and magazines.
Answers
TEKNOLOGI pada hari ini terus berkembang. Perkembangannya amat pantas untuk diikuti. Boleh dikatakan hampir setiap hari ada sahaja perisian atau gajet baharu. Kalau kita melihat dalam telefon bimbit kita sahaja beratus-ratus perisian atau mungkin beribu-ribu yang ditawarkan. Ada yang diberi secara percuma manakala ada berbayar.
Perkembangan teknologi ini merentasi berbagai budaya dan bangsa yang ada di dunia. Bangsa-bangsa di dunia ini dapat disatukan melalui teknologi media baharu ini. Berbagai-bagai maklumat dapat disalurkan merentasi benua sepantas kilat.
Perkembangan teknologi ini juga sebenarnya tanpa kita sedari telah membawa kesan besar kepada ideologi atau cara berfikir generasi muda. Generasi muda atau lebih dikenali sebagai generasi Y dan Z (lahir 1990-2010). Ideologi ini akhirnya akan mempengaruhi landskap politik sesebuah negara yang akhirnya akan membawa kepada kemusnahan atau dapat membangunkan sebuah peradaban yang baharu.
Ada berbagai-bagai definisi apabila kita bercakap mengenai ideologi. Rene Descartes menyatakan ideologi adalah inti dari semua fikiran manusia manakala Niccolo Machiavelli pula, berpandangan ideologi adalah sistem perlindungan kekuasaan yang dimiliki oleh penguasa.
Menurut Francis Bacon, ideologi adalah paduan atau gabungan pemikiran yang mendasar sesuatu konsep dan manakala Karl Marx pula berkata, ideologi adalah alat untuk mencapai kesetaraan dan kesejahteraan bersama dalam masyarakat. Inilah antara definisi ringkas mengenai ideologi.
Kalau kita melihat corak pada hari ini, peranan media massa turut berubah. Sebagai contoh, peranan surat khabar atau televisyen bukanlah sebagai penyalur maklumat nombor satu seperti satu ketika dahulu. Kini, media baharu telah memainkan peranan yang amat penting dalam persoalan ini. Masyarakat pada hari ini lebih percaya kepada media baharu berbanding dengan maklumat daripada surat khabar dan televisyen.
Televisyen hanya digunakan sebagai medium hiburan bagi menonton tayangan filem, rencana atau lain-lain dokumentari. Bagi generasi Y mereka bergantung sepenuhnya kepada media baharu dan bahan yang terdapat di media baharu inilah yang akan mencorakkan pemikiran mereka dan yang paling penting mereka adalah pemimpin di masa hadapan. Gaya kepemimpinan mereka kelak besar kemungkinan akan dipengaruhi oleh bahan-bahan yang terdapat dalam media baharu kerana bahan-bahan tersebut merupakan guru bagi mereka.
Berita mengenai skandal seseorang pemimpin, artis atau tokoh-tokoh tertentu akan cepat tersebar tanpa dapat dikawal melalui media baharu ini. Ledakan maklumat dapat kita peroleh daripada berbagai-bagai sumber. Karikatur mengenai wajah-wajah pemimpin telah dijadikan bahan lawak jenaka dan sedikit sebanyak telah hilang rasa hormat kepada pemimpin tertentu.
Inilah antara kesan atau pengaruh media baharu dalam perkembangan teknologi. Perkembangan ini bukan hanya berlaku di Malaysia malah seluruh dunia. Kita ini sebenarnya sedang mengalami perubahan landskap politik negara kesan daripada media baharu ini. Cara berpolitik masa kini tidak lagi cara dengan cara berpolitik pada masa dahulu. Oleh itu, kebebasan media baharu ini haruslah dikawal oleh kerajaan berdasarkan justifikasi-justifikasi tertentu.
Kalau dilihat kedudukan Malaysia dalam indeks kebebasan media ‘Reporters Without Borders’ (RSF), Malaysia berada pada tangga ke-145 daripada 179. Pada 2012 pula, kedudukan Malaysia adalah pada tangga ke-122. Tiap-tiap tahun RSF menghantar kaji selidik kepada pengamal-pengamal media di Malaysia tanpa mengira media sama ada media cetak atas talian ataupun daripada wartawan-wartawan yang berkhidmat di media penyiaran, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain.
Persoalan-persoalan kaji selidik untuk membuat indeks kebebasan media adalah berdasarkan kepada tiga perkara. Pertama, kebebasan media di negara ini adakah ia dikawal oleh kerajaan atau dimiliki oleh kerajaan. Kedua, adakah kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya dalam pemberian lesen penerbitan dan yang ketiga, adakah tindakan terhadap wartawan/’cybertrooper’ yang melaporkan tentang penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan ataupun pemimpin kerajaan.
Gejala berita palsu atau fitnah sebenarnya membawa kesan besar dalam masyarakat kita. Ini akan mengakibatkan jurang pemisahan yang semakin besar, nilai-nilai muhibah akan semakin terhakis. Ini juga akan melibatkan maruah diri dan keluarga. Oleh itu, satu mekanisme baharu yang lebih mantap perlu diwujudkan ke arah mengawal gejala fitnah dan sebaran berita palsu ini.